
Mengulas dakwaan dan pertanyaan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard, Ketua Polis Bahrin Mohd Noh berkata siasatan membabitkan Syed Hussien telah dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya yang memutuskan tiada tindakan lanjut.
“Tiada mana-mana pihak dituduh dalam kes berkenaan termasuk penama yang telah dinyatakan.
“Polis menasihatkan parti politik agar berkempen secara sihat dan tidak mengeksploitasi isu agama, raja dan bangsa atau membuat kenyataan palsu terhadap individu lain,” katanya dalam kenyataan.
Bahrin turut memberi amaran tindakan akan diambil terhadap pihak mengeluarkan kenyataan boleh mengganggu ketenteraman awam.
Terdahulu, Pengerusi BN Zahid Hamidi menjelaskan Syed Hussien telah mempertahankan orang buta yang telah diganggu sekumpulan individu dalam kes memukul orang dikaitkan dengannya pada 2008.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika Syed Hussien berusia dalam lingkungan 20-an dan tiada pertuduhan dikenakan ke atasnya kerana tiada kes.
Syed Hussien yang berdepan calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Haizan Jaafar pada PRK Sabtu ini turut menafikan dakwaan itu.
Chegubard dalam satu ceramah PN meminta penjelasan Syed Hussien dan polis berhubung dakwaan itu.
Beliau juga menunjukkan dokumen didakwanya laporan polis yang menyatakan Syed Hussien terlibat dengan kes jenayah itu.