PM sedia isytihar harta bila-bila masa

PM sedia isytihar harta bila-bila masa

Anwar Ibrahim tempelak pihak yang marah apabila diminta isytihar harta dan kaitkannya dengan 'dendam'.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata usah takut isytihar harta jika tidak buat salah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersedia mengisytiharkan harta pada bila-bila masa.

“Saya, kalau ada (pihak) minta esok (isytihar) harta, esok juga saya buat, koreklah banyak mana pun…baru boleh jadi pemimpin, jadi contoh. Jika tidak, apa yang kita nak ajar kepada rakyat kerana antara cara untuk angkat darjat Islam itu ialah dengan tatakelola yang baik.

“Ini (ada pihak) apabila suruh isytihar harta marah, (cakap kerana) dendam, apa dendam? Kalau kamu tak salah, buat apa takut isytihar harta?” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Taman Alam Sutera.

Sebelum ini, Ketua Whip Perikatan Nasional Takiyuddin Hassan, berkata pengisytiharan harta yang merupakan antara syarat terkandung dalam memorandum persefahaman berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, hanya perlu dilakukan apabila melibatkan anggota pentadbiran seperti diamalkan kerajaan terdahulu.

Anwar juga berkata, kerajaan pimpinannya sedang berperang dengan rasuah dan penyelewengan.

“Ada pihak bicara soal Melayu, agama dan Islam, tapi sebenarnya rompak hasil dan kekayaan negara. Saya tidak mahu hal ini berlaku, saya tidak maksud dah berlaku di sini.

“Dalam keadaan kita semak hampir setiap kontrak, ada sahaja bocornya, ada sahaja hilang dananya. Negara mana mampu maju kalau tiap kali ada tiris dan ia bukan sedikit, ratusan juta dan bilion,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.