
Hakim Syarie Yuhanis Yusop membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Penolong Pengarah (Kanan) Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah terhadap kedua-dua orang disyaki (OYDS) berumur 46 dan 54 tahun bagi melengkapkan siasatan.
Beliau menetapkan bon jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin bagi pengetua madrasah untuk disiasat mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Islam (Negeri Sembilan) 1996.
Timbalan pengetua pula dikenakan bon jaminan RM3,500 bagi siasatan di bawah Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Islam (Negeri Sembilan) 1996, Seksyen 52 dan 53 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2019).
Mereka juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain melaporkan diri setiap bulan kepada ketua penguat kuasa agama Rembau serta tidak dibenarkan mengganggu saksi kes. Sebutan semula kes ditetapkan 12 Nov ini.
Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah memaklumkan kedua-dua lelaki itu ditahan dalam Op Global polis dan Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS di madrasah Kampung Senama Hilir, Rembau pada 21 Sept lalu.
Beliau berkata, JHEAINS menahan semula kedua-dua OYDS di IPD Rembau semalam.
“Penahanan suspek ini untuk siasatan lanjut berkaitan pengoperasian sekolah agama tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan.
Ketika soal siasat, katanya, kedua-dua OYDS didapati cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti negeri ini.