
Dari 2019 hingga 2022, perbelanjaan isi rumah lebih miskin meningkat lebih cepat berbanding isi rumah yang lebih kaya, bertentangan dengan trend sebelum wabak.
Kawasan luar bandar di beberapa negeri, termasuk Kedah, Kelantan dan Sarawak, menyaksikan perbelanjaan penjagaan kesihatan meningkat lebih pesat berbanding kawasan bandar, walaupun isi rumah bandar secara mutlaknya berbelanja lebih.
“Ubat-ubatan, yang sebelum ini menjadi kategori dominan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan, menyaksikan bahagiannya menurun walaupun perbelanjaan untuk produk perubatan melonjak.
“Ini didorong oleh keperluan barangan pencegahan seperti pelitup muka dan (cecair) pembersih,” menurut laporan bertajuk ‘The State of Households 2024: Households and the Pandemic 2019-2022’ itu.
Pada kemuncak wabak, Kementerian Kesihatan (KKM) mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka di kawasan tertutup, termasuk dalam pengangkutan awam.
Orang ramai turut digalakkan agar sentiasa membersihkan tangan bagi mengekang penularan wabak.
KRI juga mendapati penggunaan Internet untuk mendapatkan maklumat kesihatan dan membuat janji temu kesihatan dalam talian menurun selepas 2021, lebih ketara dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas.
“Lonjakan penggunaan digital bagi tujuan kesihatan didorong oleh wabak menyerlahkan potensi manfaat pendigitalan penjagaan kesihatan, serta cabaran terhadap pelaksanaannya,” katanya.