Calon BN nafi pernah ditahan polis terbabit kes pukul

Calon BN nafi pernah ditahan polis terbabit kes pukul

Syed Hussein Syed Abdullah juga mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang ahli Bersatu yang membuat dakwaan tersebut.

SYED HUSSEIN
Calon Barisan Nasional PRK Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah berkata tuduhan itu menunjukkan pembangkang kekeringan modal dan mengamalkan politik tidak matang. (Gambar Bernama)
KLUANG:
Calon Barisan Nasional (BN) PRK Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang ahli Bersatu kerana mengaitkan beliau dengan satu kes jenayah.

Bercakap kepada FMT, Syed Hussien menafikan dakwaan Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard bahawa beliau terbabit dalam satu kes pukul hingga ditangkap polis.

“Saya nafikan dan akan buat laporan polis berkait dakwaan itu selain tindakannya (Badrul) mempamerkan nombor kad pengenalan saya di hadapan orang ramai yang menjadi kesalahan berat.

“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam untuk kita ambil tindakan undang-undang,” kata ketua Pemuda Umno Kluang itu.

Chegubard dalam satu ceramah di kempen Perikatan Nasional (PN) PRK Mahkota malam tadi, meminta penjelasan Syed Hussien berhubung dakwaan calon BN itu pernah ditangkap polis berhubung satu kes pukul.

Beliau juga menunjukkan dokumen yang didakwanya laporan polis yang menyatakan Syed Hussien terlibat dengan kes jenayah itu.

Sementara itu, Syed Hussien berkata tindakan Chegubard itu menunjukkan PN kekeringan modal dan mengamalkan politik tidak matang.

“Berbeza dengan BN, kita terus amalkan politik khidmat bakti untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

“Bukan kempen tidak beradab seperti dibuat lawan,” katanya.

PRK Mahkota Sabtu ini menyaksikan Syed Hussien akan ditentang calon PN Mohamad Haizan Jaafar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.