
Dr Malina Osman dari Universiti Putra Malaysia berkata, komitmen semua pihak termasuk mereka yang masih merokok amat diperlukan dalam menghormati akta itu dan pelaksanaannya.

“Kita mungkin begitu mudah menuding jari kepada KKM kerana beranggapan gagal bertindak ke atas mereka yang merokok di kedai makan.
“Namun, ia wajar datang sendiri sebagai kesedaran dan tanggungjawab mereka yang sudah dewasa serta tuan punya kedai,” katanya kepada FMT, mengulas akta itu yang akan berkuat kuasa 1 Okt ini.
Akta itu antara lain memperuntukkan larangan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau serta penyediaan sebarang perkhidmatan merokok kepada kanak-kanak bawah umur.
Rang undang-undang (RUU) antimerokok diluluskan di Dewan Negara pada Disember 2023 sudah diwartakan pada 2 Feb lalu.

Malina berkata, penguatkuasaan akta itu sangat dialu-alukan terutama bagi membolehkan mereka di bawah umur dilindungi daripada terdedah bahaya kesihatan akibat penggunaan bahan merokok.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata penguatkuasaan akta itu yang lama tertangguh amat mustahak bagi melindungi masyarakat daripada bahaya produk merokok.
“Akta ini menutup kelompangan penguatkuasaan terhadap penjualan vape kepada kanak-kanak. Ini bukan sahaja harus dilihat dari aspek penguatkuasaan tetapi menjadi penghalang kepada tabiat dan tingkah laku berisiko serta membahayakan kesihatan pelaku dan orang sekitar,” katanya.

Sementara itu, pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata tindakan tegas pihak berkuasa terhadap pemilik premis dan penjual produk perlu bagi menguatkuasakan akta tersebut.
“Semoga berjaya hentikan wabak ketagihan produk tembakau dan penyakit berkaitan dengannya,” kata bekas presiden PPPKAM.