
Mangsa, Muhammad Khairul Ridzuan Muhamad Taib, 46, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu sebelum kejadian dilaporkan kepada polis pada 2.39 pagi.
Ketua Polis Manjung Hasbullah Abdul Rahman, berkata seorang saksi melihat lelaki dikenalinya masuk ke dalam rumah itu, sebelum terdengar bunyi hentakan objek di ruang tamu.
“Suspek kemudiannya dilihat keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa dua bekas mengandungi cecair disyaki petrol dan meninggalkan rumah sebelum saksi menyedari kebakaran.
“Pihak polis juga menahan suspek berhampiran dengan tempat kejadian,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan suspek direman tujuh hari hingga 1 Okt.
“Bedah siasat ke atas mayat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Permaisuri Raja Bainun, Ipoh,” katanya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 atau bilik gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 untuk membantu siasatan.