2 beradik hilang dihanyut kepala air

2 beradik hilang dihanyut kepala air

Norsifah Asrul, 3, dan adiknya Muhd Fadli Asrul yang berusia tiga bulan hanyut selepas rumah mereka dilanda kepala air di Keningau, semalam.

Menurut polis, pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang melibatkan bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan penduduk kampung. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua beradik termasuk seorang bayi lelaki berusia tiga bulan hanyut selepas rumah mereka dilanda kepala air dalam kejadian di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu, Sook, Keningau petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Norsifah Asrul, 3, dan adiknya Muhd Fadli Asrul yang juga warga Indonesia dikatakan terlepas daripada pegangan ibu bapanya ketika bersiap untuk dimandikan.

Ketua Polis Keningau, Yampil Anak Garai, berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di ruang tamu rumah kongsi ladang sawit berhampiran lokasi bapa mangsa bekerja.

“Rumah itu terletak kira-kira 20 meter dari sungai. Tanpa disedari mangsa, kepala air secara tiba-tiba meluru dengan deras hingga melimpahi tebing dan menghanyutkan rumah kongsi itu.

“Ia susulan hujan lebat selama beberapa jam sebelum itu. Sebelum kejadian, bapa mangsa sempat meninjau luar rumah dan terdengar teriakan pekerja lain mengatakan berlaku ‘gempa bumi’.

“Namun secara tiba-tiba, kepala air terus menerjah rumah mereka. Bapa mangsa dikatakan sempat masuk semula ke dalam rumah. Ketika itu ibu mangsa sedang memegang bayi (Muhd Fadli), manakala bapanya memegang Norsifah.

“Namun kedua-dua mangsa terlepas daripada pegangan selepas rumah dirempuh kayu balak yang dihanyutkan kepala air,” katanya, menurut Harian Metro.

Beiau berkata pihaknya melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang melibatkan bomba, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung.

“Kejadian turut menyebabkan ibu bapa mangsa cedera dan kini masih berada di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.