Subahat tipu pemohon PPR, kakitangan Majlis Daerah Semporna dipenjara 14 bulan

Subahat tipu pemohon PPR, kakitangan Majlis Daerah Semporna dipenjara 14 bulan

Norsidah Abdul Terasan turut didenda RM2,000 selepas didapati bersalah bersubahat menipu pemohon PPR Tagasan pada 2022.

Gavel
Mahkamah memerintahkan tertuduh jalani hukuman penjara tambahan jika gagal membayar denda dan menetapkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini. (Gambar Pexelpic)
PETALING JAYA:
Mahkamah Majistret Semporna menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan dan denda RM2,000 terhadap seorang kakitangan Majlis Daerah Semporna yang didapati bersalah bersubahat menipu pemohon projek perumahan rakyat (PPR) Tagasan pada 2022.

Harian Metro melaporkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin mensabitkan Norsidah Abdul Terasan, 49, dengan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Wanita itu didakwa bersubahat dengan seorang lagi wanita menerima imbuhan RM4,300 hasil penipuan terhadap seorang pemohon PPR.

Dia juga tahu permohonan mendaftar serta kelulusan menduduki rumah PPR itu belum dibuka dan pembayaran kelulusan permohonan hanya boleh dibuat di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di depan Pejabat Pos Semporna antara 15 Ogos hingga 29 Dis 2022.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 akta sama, iaitu penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan dua bulan jika gagal membayar denda dan menetapkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.