RM21.5 juta disalur untuk bakul makanan Deepavali, bina krematorium, kata Anwar

RM21.5 juta disalur untuk bakul makanan Deepavali, bina krematorium, kata Anwar

Perdana menteri berkata, kerajaan menyalurkan RM1.5 juta bagi bakul makanan sempena perayaan Deepavali dan RM20 juta untuk membina krematorium di lima negeri.

Anwar Ibrahim berkata, keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat India akan diteruskan dalam Belanjawan 2025 bagi melaksanakan beberapa program khusus seperti sebelum ini.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sehingga kini menyalurkan RM1.5 juta untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali, manakala RM20 juta lagi bagi pembinaan krematorium di Kedah, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Perdana menteri berkata, keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat India akan diteruskan dalam Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan pada 18 Okt ini bagi melaksanakan beberapa program khusus seperti sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan masyarakat India, sebaliknya sentiasa menambah baik semua aspek penting termasuk pendidikan, penyediaan rumah ibadat dan peluang pekerjaan.

“Sebelum ini juga kerajaan menyalurkan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) selain menambah beberapa dana seperti bantuan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk masyarakat India,” katanya yang juga menteri kewangan dalam catatan Facebook.

Menurutnya, beliau sudah menyampaikan amanat berhubung usaha kerajaan buat masyarakat India dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen, Adun dan media masyarakat India hari ini serta mengingatkan kepentingan mengekalkan keharmonian antara semua kaum.

“Semoga taraf sosioekonomi masyarakat India dapat terus dipertingkatkan pada masa depan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.