
Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Politik Kanan Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kepada Mangsa Bencana Pulau Pinang, di Dewan Besar Sungai Dua.
Shamsul Iskandar berkata, selain itu, 202 keluarga berdaftar dengan pusat pemindahan sementara (PPS) khususnya melibatkan daerah Seberang Perai Selatan, Seberang Perai Utara, dan Seberang Perai Tengah itu juga akan menerima RM1,000 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Jadi, setiap keluarga yang terjejas akan menerima RM1,500 dan ini menunjukkan bahawa perdana menteri serta kerajaan, sangat prihatin dan terkesan dengan mereka yang diuji dengan musibah banjir ini. Bersama-sama kita akan pulih dan bangkit semula.
“Mudah-mudahan sumbangan ini juga dapat membantu meringankan beban mereka untuk membaiki apa yang rosak akibat banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut pada majlis yang turut dihadiri Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim.
Sebanyak 11 PPS dibuka dari 17 hingga 21 Sept, berikutan kejadian banjir itu yang menempatkan 760 orang daripada 202 keluarga, sebelum semua mereka kembali ke kediaman masing-masing pada Sabtu.
Sementara itu, seorang mangsa banjir Mohd Azhari Yaacob, 57, dari Kampung Lahar Yooi, bersyukur dengan bantuan sumbangan diberikan perdana menteri dan Nadma kerana membantu meringankan beban.
“Tempat saya kerap banjir dan kerugian yang saya hadapi kira-kira RM15,000, lagipun PMX (perdana menteri ke-10) sangat biasa di tempat kami, tetapi saya tidak jangka langsung dapat bantuan terus daripada PM,” katanya.
Hamid Hashim, 69, pula berkata bantuan yang diterima akan dapat meringankan beban dan masalah dihadapi susulan banjir minggu lalu, mengakibatkan banyak kerosakan di rumahnya.
“Air naik sampai lutut dan banyak barang perabot sudah rosak, jadi saya akan gunakan duit ini untuk membeli perabot. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.
Mary Nathan, 65, dari Kampung Stesen, Nibong Tebal juga menyatakan rasa seronok kerana menerima bantuan RM1,500 apatah lagi menjelang perayaan Deepavali bulan depan, selepas beberapa perabot di rumahnya musnah.
Mary yang juga orang kurang upaya (OKU), berkata sekarang dia hanya tidur di atas kerusi kerana katilnya telah dihanyutkan banjir.