
Khaled berkata sumbangan itu melibatkan bantuan sara hidup, bencana alam dan kesihatan seperti kemudahan dialisis, penyediaan anggota atau bahagian badan palsu serta inisiatif perumahan dan pengurusan jenazah.
“Hasil sumbangan daripada tabung inilah dimanfaatkan secara sistematik dan terurus untuk membantu meringankan beban dan tekanan mereka,” katanya pada majlis makan malam amal kempen Tabung Pahlawan di sini.
Turut hadir Penaung Kempen Tabung Pahlawan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Tentera Darat Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Malaysia (JHEV) Semaon Marjuki.
Menurut Khaled, Tabung Pahlawan itu memerlukan sumbangan daripada lebih banyak pihak untuk menjaga kira-kira 300,000 anggota veteran.
“JHEV akan memudahkan proses dan memastikan sumbangan boleh dibuat melalui pelbagai saluran tanpa mengira jumlah dan nilai.
“Setiap sumbangan sangat bernilai…seperti sering diungkapkan, ‘Beri Banyak Tanda Mampu, Beri Sedikit Tanda Ingat’,” katanya yang menjelaskan setiap sumbangan daripada korporat dan individu layak mendapat penolakan rebat cukai.
Tambah Khaled, dana yang dikutip itu akan digunakan untuk kecemasan tambahan anggota veteran, selain daripada bantuan disalurkan kerajaan.
Sementara itu, Khaled turut menyeru masyarakat menolak ideologi yang ekstrem yang boleh memecahbelahkan rakyat dan merugikan negara.
“Amalan dan ideologi ekstrem sangat bercanggah dengan nilai dan pegangan dalam sebuah negara yang majmuk dan meraikan kepelbagaian,” katanya.