
Roland, 42, berkata pada 7 Feb 2021, beliau membuat hantaran video siaran langsung di Facebook klinik itu berkaitan vaksin mRNA (messenger asid ribonukleik) kira-kira 56 minit untuk memberi penerangan dan pengetahuan kepada orang ramai.
“Dalam mana-mana bahagian penerangan pada video saya muat naik, saya tidak pernah menghalang sesiapa pun untuk tidak menerima suntikan vaksin kerana pemberian produk ini berdasarkan pilihan individu itu sendiri.
“Video siaran langsung itu menerangkan fungsi vaksin, cara mRNA membina imuniti badan serta kesan sampingan akan dirasai atau dihadapi selepas mengambil suntikan vaksin.
“Sepanjang tempoh membuat siaran langsung itu, saya tidak ada menyatakan apa-apa isi kandungan bersifat jelik, malah keseluruhan video tersebut langsung tidak mempunyai apa-apa unsur penipuan, palsu atau perkataan boleh menyakitkan hati orang lain,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding membela diri di depan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Bekas penolong pengarah kanan Unit Kawalan Amalan dan Perubatan Swasta di Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu berkata, kandungan video itu berdasarkan rujukan dokumen Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan serta yang dikeluarkan Pfizer.
“Saya juga menerangkan dan menjawab soalan ditanya secara langsung oleh penonton tentang isu semasa dan subjek-subjek kesihatan.
“Saya menterjemahkan dokumen tersebut daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu bagi membantu masyarakat memahami cara vaksin berfungsi, kandungan vaksin dan juga kesan sampingan vaksin mRNA Pfizer Comirnaty.”
Menurutnya, semua penerangan dalam video itu berdasarkan pembacaan dan kajian pelbagai artikel terkini serta atas kapasitinya sebagai doktor, beliau harus memberikan informasi betul serta cepat kepada orang awam.
“Video itu tidak menjejaskan aktiviti vaksinasi kebangsaan ketika itu dan kadar sambutan vaksinasi hampir 90%.
“Saya sendiri di The KL Sky Clinic turut terlibat dalam program imunisasi kebangsaan dalam membekalkan vaksin Sinovac ketika itu,” katanya yang berkhidmat di klinik itu selama 10 tahun.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Muhamad Amin, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal.
Pada 21 Mac lepas, Ahmad Fuad memerintahkan Roland membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pada 5 Julai 2021, beliau didakwa membuat dan memulakan hantaran video bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan laman profil Facebook The KL Sky Clinic pada 10.30 malam 7 Feb 2021.
Roland didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya serta berdepan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Perbicaraan bersambung esok.