Pinda akta, DBP digesa saman pemaju guna bahasa asing namakan projek

Pinda akta, DBP digesa saman pemaju guna bahasa asing namakan projek

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pindaan perlu dibuat bagi mengelak pertindihan kuasa dengan pihak berkuasa tempatan.

Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kali terakhir Akta DBP 1959 dipinda pada 1995 iaitu sudah hampir 30 tahun ia tidak dikemas kini.
KUALA LUMPUR:
Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu dipinda bagi membolehkan mereka mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada pemaju perumahan yang sengaja menggunakan nama asing bagi menamakan sesuatu projek.

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata pindaan itu perlu dibuat bagi mengelak pertindihan kuasa dengan pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Contohnya ada taman-taman menggunakan nama bukan Malaysia sebaliknya bahasa Perancis, Sepanyol. Walaupun salah penggunaannya tapi DBP tidak ada kuasa menguat kuasa, dia tak boleh saman syarikat perumahan yang menggunakan bahasa lain untuk nama taman dan jalan.

“Kuasa majlis daerah nampaknya lebih besar daripada DBP dari segi menguatkuasakan undang-undang dari segi nama sebab itulah saya berpandangan DBP patut beri kuasa yang lebih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu di Hotel Ideas.

Beliau berkata, kali terakhir Akta DBP 1959 dipinda pada 1995 iaitu sudah hampir 30 tahun ia tidak dikemas kini dan diperkemaskan berdasarkan isu semasa.

Ismail berharap DBP mengambil langkah pantas supaya akta berkait badan itu dapat dipinda dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Sementara itu, Ismail berkata dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu beliau mencadangkan penggunaannya dibuat melalui urusan rasmi kerajaan terutama ketika mengadakan lawatan kerja ke luar negara.

“Bagi meningkatkan keyakinan terhadap bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, saya menyeru kerajaan mengambil langkah untuk menyatukan versi bahasa Melayu yang ada, sebagai contoh bahasa Melayu Indonesia, bahasa Melayu Brunei, bahasa Melayu Singapura dan bahasa Melayu Thailand sebagai bahasa kedua Asean,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.