
Usaha strategik itu bagi pengedaran bahan api bersubsidi, pemasangan panel solar PV (fotovoltaik) dan penempatan produk industri kecil dan sederhana (IKS) di BHPetromart.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata pihaknya sentiasa berusaha mengurangkan jurang antara desa dan bandar bagi memastikan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang dan inklusif.
“Kawasan luar bandar di Malaysia sering dicirikan oleh tahap infrastruktur yang rendah, akses terhad serta jurang pembangunan yang ketara berbanding kawasan bandar.
“Mempercepatkan pertumbuhan ekonomi desa amat penting kerana ia mempengaruhi pembangunan negara dan kesejahteraan sosial secara keseluruhan,” katanya ketika melancarkan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KKDW bersama BHPetrol.
Hadir sama Menteri Pertahanan Khaled Nordin.
MoU itu dimeterai antara BHPetrol dan lapan agensi KKDW.
Ian termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra) dan anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc).
BHPetrol melabur RM45 juta untuk pembinaan sepuluh stesen minyak di lapan lokasi yang dimuktamadkan dan dua lokasi lagi masih dalam penelitian.
Mara Inc pula memperuntukkan RM1.5 juta bagi pemasangan fotovoltaik) di 50 stesen minyak BHPetrol sedia ada.
Zahid berkata, usaha pembangunan tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata tanpa kerjasama pelbagai pihak seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta sektor swasta.
Katanya, usaha sama itu akan membantu kementerian dalam mencapai matlamat pembangunan ekonomi dan keusahawanan desa.