‘Keterlaluan’, kata Hadi berkait hukuman ke atas 4 kakitangan Jaim

‘Keterlaluan’, kata Hadi berkait hukuman ke atas 4 kakitangan Jaim

Empat kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dikenakan tindakan tatatertib kerana cuai memasukkan gambar Hadi Awang dalam paparan video khutbah Jumaat minggu lalu.

Hadi Awang berkata beliau simpati dengan tindakan tatatertib ke atas empat kakitangan Jaim yang ditukarkan ke jabatan dan daerah lain serta dipecat.
PETALING JAYA:
Presiden PAS Hadi Awang menyifatkan tindakan tatatertib ke atas empat kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang didapati cuai memasukkan gambarnya dalam paparan video khutbah Jumaat minggu lalu sebagai keterlaluan.

“Saya amat bersimpati dan terkejut dengan tindakan yang amat keterlaluan dikenakan ke atas pegawai Jaim terlibat,” katanya menerusi aplikasi X.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mengulas tindakan terhadap seorang ketua penolong pengarah dan tiga pegawai Jaim yang ditukarkan ke jabatan dan daerah lain serta dipecat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rahmad Mariman mengesahkan tindakan itu selepas kesemuanya mengakui kesilapan mereka.

Beliau menjelaskan tindakan itu diambil selepas pegawai itu mengaku bersalah atas kecuaian yang boleh menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di Melaka.

Khutbah Jumaat di semua surau dan masjid di Melaka pada 20 Sept lalu mencetuskan kontroversi apabila slaid dikendalikan Jaim memaparkan wajah Hadi.

Ia diletak bersebelahan ayat berbunyi: Keamanan dan kemajuan negara hendaklah dipertahankan, dan memerlukan pemimpin yang adil dan jujur, masyarakat yang harmoni, rakyat yang berdisiplin dan berbudi mulia.

Dalam slaid berasingan pula diletakkan gambar bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sedangkan sepatutnya diletak gambar Agong baharu, Sultan Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.