
Pengarah Kastam negeri, Muhammad Ilyas Queek Abdullah, berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori ‘bonded’ jenis Isuzu yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu di kawasan perumahan Jenjarom, Selangor.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan menjumpai 5,280 tin bir 500ml sebelum satu lagi pemeriksaan dilakukan di kontena gudang juga di Jenjarom menemukan 26,328 tin bir 500ml.
“Semua bir dijumpai tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import bawah Butiran 3 Bahagian Il Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Semua barang kes bersama lori dan kontena disita bawah Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut. Jumlah nilai keseluruhan barang sitaan ini termasuk cukai dianggarkan RM600,157,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ilyas berkata pihaknya turut menyerbu dan melakukan pemeriksaan di sebuah gudang di kawasan Taman Perindustrian Puchong, Selangor, menjumpai sejumlah 287,500 peket rokok putih bernilai RM4.36 juta.
Beliau berkata, semua rokok putih itu tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import bawah Butiran I Bahagian ll Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan semua barang eksibit disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut.
“Modus operandi sindiket adalah rokok tersebut diseludup ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan sah dan barangan itu disimpan dalam gudang sebelum diedarkan serta dijual di pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata, JKDM mengesan orang ramai bersama memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil malah turut mendatangkan ancaman keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.