Disyaki rasuah penguat kuasa, pengarah syarikat warga Bangladesh ditahan

Disyaki rasuah penguat kuasa, pengarah syarikat warga Bangladesh ditahan

Sumber berkata, lelaki 50-an itu ditahan dalam operasi SPRM di sekitar Lembah Klang pada 8 malam semalam.

macc
Sumber berkata, lelaki itu dipercayai menjadi ejen sindiket dengan memberi rasuah kira-kira RM200 hingga RM25,000 kepada pegawai peguat kuasa bagi membawa masuk warga asing dengan modus operandi ‘Counter Setting’.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh kerana disyaki terlibat sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi “Counter Setting”.

Menurut sumber, lelaki 50-an itu ditahan dalam operasi SPRM di sekitar Lembah Klang pada 8 malam semalam.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai menjadi ejen sindiket dengan memberi rasuah kepada pegawai peguat kuasa bagi membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi “Counter Setting”.

“Lelaki berkenaan dipercayai memberi rasuah kira-kira RM200 hingga RM25,000 kepada pegawai penguat kuasa sebagai balasan melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur sah.”

Selain ejen, sumber berkata, lelaki berkenaan turut dipercayai bertindak sebagai orang tengah sejak 2022.

Lelaki terbabit kini direman dua hari hingga esok selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.