Wanita didenda RM2,000 kerana buang bayi

Wanita didenda RM2,000 kerana buang bayi

Siti Nabila mengaku bersalah meninggalkan bayinya yang berusia sehari dengan niat membuangnya di belakang sebuah rumah pada 7 Sept lepas.

Siti Nabila, 22, didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, atas kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita berusia 22 tahun didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Machang hari ini kerana membuang bayi yang masih bertali pusat di belakang sebuah rumah tiga minggu lepas.

Majistret Amal Razin Alias menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Nabila, seorang penganggur, selepas dia mengaku bersalah, dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu, lapor Bernama

Siti Nabila, ibu kepada bayi lelaki berusia sehari itu didakwa meninggalkan bayi itu dengan niat membuangnya di belakang sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sungai Bedal, Temangan, pada 6 petang, 7 Sept lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, atas kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisya Nai’lah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.