‘Sang Kudung’ buru emas ke-20 di Bumi Kenyalang

‘Sang Kudung’ buru emas ke-20 di Bumi Kenyalang

Wakil Terengganu acara lontar peluru (kecacatan fizikal) Hisam Che Soh@Yusof tekad lakar kecemerlangan selepas 10 tahun pembabitan dalam Para Sukma.

Hisam Che Soh@Yusof memburu emas ke-20 acara lontar peluru Para Sukma Sarawak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selepas lebih dua dekad kehilangan tangan kiri akibat nahas jalan raya, Hisam Che Soh@Yusof tidak pernah menyangka kini semakin menghampiri kejayaan meraih 20 pingat emas sepanjang 10 tahun pembabitan dalam Sukan Para Malaysia (Para Sukma).

Wakil Terengganu berusia 43 tahun yang menyertai acara lontar peluru F46 (kecacatan fizikal) dan lempar cakera mengakui hampir memilih untuk menjadi atlet renang berdasarkan pengalaman dan kelayakan sebagai jurulatih sukan itu.

Bagaimanapun, segalanya berubah apabila Hisam yang mesra disapa ‘Sang Kudung’ di kampungnya, dipilih sebagai anak didik seorang guru di Kemaman, Terengganu. Sejak itu, dia memulakan pengembaraan dalam dunia olahraga yang seolah-olah tertanam dalam jiwanya sejak kecil.

Bapa tiga anak itu menggambarkan peluang menyertai kejohanan dwitahunan pada 2004 di Perak sebagai ‘rezeki terpijak’, di mana berjaya membawa pulang dua pingat emas dan memecahkan rekod temasya.

“Saya terlibat dalam kemalangan pada 2002 dan kehilangan tangan kiri akibat terkena bingkai cermin kereta ketika menunggang motosikal. Selepas itu, saya memang mengalami saat sukar, tetapi rezeki menyebelahi saya apabila diterima masuk ke Sukma pada 2004,” katanya menurut Bernama.

Sepanjang 10 edisi itu, Hisam meraih 18 pingat emas (dua emas setiap edisi) dan kini sedang memburu emas ke-19 dan 20.

Hisam mengakui bukan ingin mendabik dada tetapi mungkin saingan daripada generasi muda sekarang kurang kerana mereka tidak cukup berminat.

Dia pernah diserap ke dalam skuad kebangsaan pada 2006 namun terpaksa berhenti sembilan tahun kemudian iaitu pada 2015 untuk menjaga bapanya yang sakit. Bagaimanapun, cintanya terhadap sukan tidak pudar dan terus berlatih di rumah.

“Saya berhenti daripada pasukan kebangsaan bukan kerana prestasi tidak memuaskan, tetapi kerana sukar untuk ulang-alik menghantar ayah ke hospital. Kini, sudah hampir lima tahun arwah ayah meninggalkan saya,” katanya.

Beliau sedikitpun tidak terkilan kerana lontar peluru dan lempar cakera masih boleh dijadikan ‘lubuk rezeki’ untuk menyara keluarga.

“Lagipun, apa yang diperjuangkan ini semua kerana isteri, sebab dia memang sangat memahami kehendak diri saya. Bagi saya, isteri saya adalah sempurna,” katanya.

Temasya Para Sukma 2024 akan dibuka secara rasmi hari ini hingga 28 Sept. Ia sebelum ini dikenali sebagai Sukan Orang Cacat Malaysia (1982-1996) dan Sukan Paralimpiad Malaysia (1998-2016).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.