3 minggu hilang, keluarga Sabari resah menanti berita

3 minggu hilang, keluarga Sabari resah menanti berita

Masih belum ada perkembangan berhubung kehilangan warga emas itu susulan hebahan yang dibuat polis pada 12 Sept lepas, kata anaknya.

Sabari Baharom, 62, tidak pulang selepas dipercayai keluar dari rumahnya pada malam 3 Sept lepas dengan menaiki Proton Waja berwarna emas miliknya. (Gambar Facebook)
BALING:
Keluarga kepada Sabari Baharom, 62, yang dilaporkan hilang sejak 3 Sept lepas semakin resah berikutan masih belum ada sebarang perkembangan berhubung kehilangan warga emas itu yang kini masuk minggu ketiga.

Anak sulungnya, Suraiya Izzaty, 29, berkata sejak bapanya disyaki hilang selepas gagal dihubungi, usaha mencari dan mengesannya menemui jalan buntu.

“Kami sekeluarga berharap tiada perkara buruk yang berlaku terhadap ayah. Kami harap (jika melibatkan orang lain) mereka pulangkan kembali ayah kami dalam keadaan selamat.

“Ayah tiada musuh dan dia tidak sebut pun ada masalah. Selalunya ayah akan beritahu kami adik-beradik jika ada masalah kewangan atau sebagainya,” katanya kepada pemberita di rumah bapanya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang.

Suraiya Izzaty berkata, pada mulanya, mereka menyangka bapanya berkunjung ke rumah kawan atau saudara mara, atau pergi ke negara jiran bersama rakan baiknya tetapi semua sangkaan itu meleset.

Katanya, satu laporan polis dibuat pada 7 Sept lepas mengenai kehilangan bapanya sebelum adik-beradiknya dipanggil ke balai untuk memberikan keterangan pada keesokan hari.

Pada 12 Sept, hebahan orang hilang telah dibuat oleh polis namun tiada perkembangan sehinggalah sebuah kereta ditemukan hangus di kawasan Pulau Belantik, Sik.

“Pada Jumaat lepas, kami dimaklumkan bahawa kereta yang terbakar itu, jenis Proton Waja, adalah milik ayah,” katanya.

“Kami turut mendapat maklumat mengenai pengeluaran wang dalam jumlah yang agak besar melibatkan satu daripada akaun bank ayah, sedangkan wang di situ ayah simpan cukup-cukup untuk dia menunaikan ibadah haji.”

Suraiya Izzati berkata, bapanya yang juga bekas pegawai kewangan seorang yang amat teliti berhubung pengeluaran wang serta tidak gemar bermewah.

“Hidup ayah biasa-biasa sahaja, malah rutinnya selepas pencen, akan solat berjemaah di masjid, sarapan bersama jemaah di kedai sebelum pergi menjengah kebun.

“Kami sering berhubung, jadi bila dia hilang tiba-tiba kami tiga beradik gusar dan berharap ayah pulang dalam keadaan selamat,” katanya.

Menurut laporan media, Sabari tidak pulang selepas dipercayai keluar dari rumahnya pada malam 3 Sept lepas dengan menaiki Proton Waja berwarna emas miliknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.