
Mengulas gesaan peniaga supaya kerja terbabit disiapkan menjelang hujung tahun seperti dilaporkan FMT semalam, Zaliha berkata mereka perlu bersabar demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak terbabit.
“Tempoh baik pulih kawasan ‘ground zero’ dan kawasan SAR (cari dan menyelamat) akan mengambil masa tiga hingga enam bulan yang disifatkan munasabah.
“Jadi saya berharap pihak persatuan bersabar sehingga proses ini selesai demi keselamatan dan kesejahteraan semua,” katanya kepada FMT.

Mengulas kebimbangan komuniti perniagaan berhubung tahap keselamatan di Jalan Masjid India, Zaliha turut mengulangi hasil dapatan pakar yang mendapati kawasan terbabit selamat.
FMT semalam melaporkan gesaan Persatuan Perniagaan Masjid India supaya pihak berkuasa menyegerakan pembaikan lubang benam di sepanjang Jalan Masjid India bagi mengembalikan keselamatan dan membendung kerugian besar akibat kehilangan pelanggan.
Presidennya Ameer Ali Mydin berpendapat garis masa penyiapan ditetapkan yang mungkin berlanjutan hingga enam bulan adalah terlalu panjang dan mahu kerja terbabit disiapkan menjelang akhir tahun ini.
Ini kerana Disember dan Mac, iaitu ketika sambutan Hari Raya adalah waktu puncak perniagaan di Masjid India.
Ameer turut mendakwa perniagaan di kawasan itu telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 80%, terutamanya kerana jalan telah ditutup untuk membolehkan kerja pembaikan.
Pada 23 Ogos, seorang warga India, Vijayaletchumy jatuh ke dalam lubang benam di hadapan Malayan Mansion. Operasi mencari dan menyelamat selama sembilan hari dilakukan tetapi dihentikan pada 31 Ogos.
Zaliha dipetik berkata operasi itu dihentikan berikutan kebimbangan terhadap keselamatan pasukan penyelamat dan kawasan sekitar, terutama berikutan penemuan lubang benam kedua berhampiran.