Op Global: Polis selamat 186 mangsa di premis GISBH

Op Global: Polis selamat 186 mangsa di premis GISBH

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata dalam operasi itu seramai 155 suspek turut ditangkap.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata semua suspek yang ditangkap itu disiasat mengikut akta kanak-kanak, akta antipemerdagangan orang dan antipenyeludupan migran.
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa menyelamatkan 186 mangsa termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial kerana dirotan dalam Op Global Fasa 4 yang dijalankan di beberapa negeri di semenanjung Malaysia hari ini.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, dalam operasi itu pihak berkuasa menyerbu 88 premis membabitkan rumah amal, klinik, premis perniagaan, maahad, dan rumah persendirian yang disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH).

“Dalam serbuan ini seramai 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak yang tular di media sosial kerana dirotan seorang lelaki disyaki ahli GISBH.

“Seramai 155 suspek membabitkan 78 lelaki dan 77 wanita juga ditahan dalam operasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, beberapa premis yang diserbu juga didapati kosong dan dipercayai ahli-ahli GISBH telah melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Razarudin berkata, serbuan dijalankan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu turut menemui risalah mengandungi elemen yang dipercayai sesat dan bercanggah dari ajaran Islam.

“Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) merampas enam buah kitab disyaki berkaitan ajaran Al-Arqam dalam operasi bersepadu di beberapa premis GISBH sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohamad Abd Hamid berkata, semua buku yang dirampas diharamkan mengikut kesalahan berkait dengan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP 1996) iaitu Seksyen 13(1)(b).

“Pada masa ini, siasatan masih berjalan dan pihak berkuasa sedang meneliti semua bukti yang diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, dalam operasi itu sebanyak empat premis termasuk rumah jagaan yang disyaki berkaitan dengan GISBH diserbu pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.