Jawatankuasa Muzakarah MKI bincang isu GISBH mulai Selasa

Jawatankuasa Muzakarah MKI bincang isu GISBH mulai Selasa

Menteri agama Mohd Na'im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu akan bersidang hingga Khamis depan.

Na'im Mokhta
Menteri agama Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan polis menahan dan mendakwa sebilangan pemimpin serta ahli GISBH.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini akan membincangkan isu berkaitan doktrin fahaman GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), menurut Mohd Na’im Mokhtar.

Memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook, menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) itu juga berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan polis menahan dan mendakwa sebilangan pemimpin serta ahli GISBH.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memberikan kerjasama penuh bagi membantu polis dalam proses siasatan isu GISBH,” katanya.

“Jakim telah mengadakan pertemuan bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri.”

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan fahaman didukung oleh GISBH mengandungi unsur ajaran sesat, khususnya dari segi batiniah.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ia juga kesinambungan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Isu itu turut mendapat reaksi daripada Mufti Terengganu Mohamad Sabri Harun dan Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad yang bersetuju ia perlu dibincangkan oleh Jawatankuasa Muzakarah MKI sebelum sebarang fatwa dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.