
Usul menggesa Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) berbuat demikian diluluskan pada Muktamar PAS ke-70, minggu lalu.
Peniaga makanan Nabilah Muhammad, berkata PAS seharusnya ‘meraikan’ rakan bukan Islam yang turut sama berusaha ke arah menyediakan makanan halal kepada seluruh rakyat serta pelancong terutama dari Timur Tengah.
“Tak perlu ada perbezaan logo halal kerana ia akan menimbulkan lebih kontroversi kerana kita negara majmuk.
“Kita bebas buat perniagaan baik Islam atau bukan Islam. Kita memang tak boleh terima lah benda macam ni. Kenapa nak dibeza-bezakan?” tegasnya kepada FMT
Nabilah mengingatkan bahawa semua peniaga yang dapat sijil halal Jakim perlu mencapai standard ketat.
“Standard yang Jakim bawa sekarang cukup ketat. Peniaga Islam atau bukan Islam kita perlu akur dengan standard dan prosedur yang Jakim tetapkan. Bagi saya perkara itu jelas,” katanya.
Pada muktamar tahunan 15 Sept lalu, PAS meluluskan usul tanpa bahas yang menggesa Jakim perkenal logo halal yang dapat membezakan produk makanan buatan syarikat Islam dan bukan Islam.
PAS Parit yang mengemukakan usul itu berkata pengenalan logo halal seperti itu membolehkan umat Islam tidak lagi berterusan dalam dilema dan keraguan berhubung status halal makanan dipasarkan.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia, J Suresh, berkata PAS kelihatan sengaja mencari publisiti murahan dengan usul sebegitu.
Sebaliknya, PAS kelihatan seperti tidak yakin dengan Jakim.
“Tak perlu sijil berbeza kerana ia hanya akan timbulkan masalah dalam negara,” katanya.
“Saya harap kerajaan teliti kenyataan PAS dan PAS berhentilah timbulkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab serta rasa kurang senang rakyat berbilang kaum.
“Kegelisahan sebegini boleh dielakkan sekiranya ahli politik bertanggungjawab dan peka dengan keadaan negara,” katanya.