52 menara telekomunikasi Jendela beroperasi di Johor

52 menara telekomunikasi Jendela beroperasi di Johor

Selebihnya dijangka beroperasi selewat hujung tahun sekali gus memberikan manfaat kepada penduduk negeri itu untuk menikmati liputan internet lebih lancar.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching melawat tapak infrastruktur komunikasi Jendela fasa satu di Felda Inas. (Gambar Bernama)
KULAI:
Sebanyak 52 daripada keseluruhan 107 menara telekomunikasi bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa satu di Johor sudah beroperasi setakat ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata, selebihnya dijangka beroperasi selewat-lewatnya hujung tahun ini sekali gus memberikan manfaat kepada penduduk negeri itu untuk menikmati liputan internet dengan lebih lancar.

“Arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada kontraktor dan juga penyedia perkhidmatan sekurang-kurangnya hujung tahun ini semua mula beroperasi.

“Kita minta mereka ikut pelan asal tetapi jika sambungan ke fiber mengambil masa lama, sambungkan kepada gelombang mikro atau starlink supaya penduduk dapat perkhidmatan internet,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak infrastruktur komunikasi Jendela fasa satu di Felda Inas.

Beliau turut memaklumkan daripada jumlah itu terdapat empat tapak menara telekomunikasi di negeri ini belum mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan memandangkan projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan hutan.

Mengulas mengenai menara telekomunikasi Jendela di Felda Inas, Teo berkata menara yang beroperasi sejak 31 Julai lalu mempunyai kira-kira 1.5km radius liputan dari tapak, memberikan manfaat kepada 1,639 penduduk di Felda itu.

“Menerusi ujian yang dibuat, kelajuan muat turun semua syarikat telco lebih tinggi daripada kelajuan minimum yang kami telah tetapkan iaitu 7.7 megabait sesaat (Mbps). Kami lihat paling perlahan 16 Mbps dan paling laju 127 Mbps.

“Sebelum menara ini dibangunkan, memang liputan internet di sini kurang memuaskan tetapi sekarang kita nampak liputan 4G tiada masalah. Saya harap kita dapat terus menyediakan perkhidmatan internet kepada penduduk sekitar melalui inisiatif ini,” kata Ahli Parlimen Kulai itu.

Jendela bermatlamat merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar dan bandar dengan menyambungkan laluan gentian optik di sembilan juta premis dengan sasaran 100% liputan internet terbaik di kawasan berpenduduk dengan kelajuan melebihi 100 Mbps.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.