
Muhammad Fauzun Azim Ismail, 20, yang juga pembantu pengajar di madrasah itu mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin, lapor Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak berusia 10 hingga 13 tahun dengan sentuhan fizikal secara seksual.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.
Fauzun juga didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas dua kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun dengan membuatkan dan menyuruh mangsa membuat sentuhan fizikal ke atas tertuduh secara seksual bagi maksud seksual.
Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut akta yang sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan madrasah itu di Kuala Pilah, pada tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi dan Noraziha Asmuni, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi setiap tuduhan dan menetapkan 30 Okt ini untuk sebutan semula kes.
Semalam, tiga pembantu pengajar di sebuah madrasah di Kuala Pilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas 14 tuduhan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak.
Minggu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dikaitkan dengan GISBH serta menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berumur setahun hingga 17 tahun.