
Beliau berkata pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesanya untuk ‘turun’ daripada jawatannya.
“Ada 30 orang (pembangkang) suruh Anwar turun. Ingat negara dia, tak ikut hukum.
“Kalau nak suruh turun, bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat Okt ini. Bawa usul cepat, kalau lambat pun saya luluskan,” katanya semasa berucap di Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
Ini bukanlah kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional untuk membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat.
Anwar membuat cabaran serupa pada 11 Jan tahun ini dan 6 Mei tahun lalu, dan menambah beliau akan memendekan tempoh notis.
Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar itu susulan dakwaan presiden PKR terbabit tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, merujuk kepada gerakan Langkah Dubai.
Beberapa media melaporkan kewujudan perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata pembangkang tiada kekuatan untuk meneruskan usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya termasuk mengemukakan usul di Dewan Rakyat, sebaliknya terus memainkan propaganda mengaburi penyokongnya.
Sementara itu, Anwar juga membidas pentadbiran pembangkang di Kedah kerana gagal menguruskan bencana banjir yang melanda negeri itu ketika ini.
“Banjir pun tak terurus. Muka ini juga nak tolong di Kedah esok.
“Kita boleh tolong sebab apa. Sebab ekonomi terurus. Sebab dalam susah payah pun kalau orang miskin saya tidak pernah jawab tak ada duit,” katanya.