Mahkota medan MCA bukti kemampuan tarik undi Cina

Mahkota medan MCA bukti kemampuan tarik undi Cina

MCA berpeluang untuk buktikan kemampuan tarik undi kaum Cina di tengah-tengah perbalahan antara pemimpin Umno dan DAP.

wee ka siong
Presiden MCA Wee Ka Siong dilihat agresif turun bertemu pengundi Cina sempena PRK Mahkota. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PRK Mahkota menjadi medan MCA membuktikan kemampuan menarik sokongan pengundi Cina selepas perbalahan di antara pemimpin Umno serta DAP berhubung isu pensijilan halal, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Azmi Hassan berkata perbalahan di antara Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok yang berlarutan sehingga proses undang-undang itu mungkin menyebabkan pengundi komuniti terbabit ‘tawar hati’ untuk turun mengundi.

Menurutnya, kecenderungan itu dapat dilihat pada PRK Sungai Bakap, Julai lalu menyaksikan Pakatan Harapan (PH) kalah dengan jurang undi lebih besar apabila peratusan pengundi Cina merosot.

“Kalau ia berlaku (peratusan orang Cina keluar mengundi rendah), ia musibah untuk Umno tetapi ia beri peluang kepada MCA untuk buktikan mampukah mereka menarik pengundi bukan Melayu dalam keadaan akan berlaku protes dalam kalangan pengundi PH,” katanya kepada FMT.

“Jika ramai pengundi Cina keluar mengundi dan pangkah calon BN… itu sedikit sebanyak menunjukkan kejayaan MCA dan mempamerkan betapa MCA itu penting.”

Presiden MCA Wee Ka Siong dilihat agresif turun bertemu pengundi Cina di sekitar perkampungan masyarakat itu bersama calon BN Syed Hussien Syed Abdullah.

Terbaharu, Kok mengancam akan menyaman Akmal yang didakwa memfitnahnya dalam video TikTok, yang menyentuh kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tertentu mendapatkan pensijilan halal.

Dalam surat tuntutannya, peguam mewakili Kok berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal jika beliau gagal memenuhi tuntutan.

Surat itu menyatakan Akmal sengaja membesar-besarkan dan/atau secara berniat jahat memutar belit kenyataan Kok dengan niat untuk memfitnahnya.

Akmal berkata beliau sedia berdepan Kok di mahkamah.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpandangan kehadiran jentera MCA atau DAP secara dasarnya tidak terlalu membantu calon BN, memandangkan akar umbi Umno sudah pun kuat di DUN berkenaan.

“Kerusi itu kalau Umno saja berkempen sahaja pun sudah cukup,” katanya sambil menambah agak mustahil untuk kaum Cina di Parlimen Kluang yang dikuasai DAP akan beri undi kepada PN walaupun di dalamnya ada Gerakan.

“Jadi pengundi Cina ada dua pilihan saja, sama ada undi kerajaan atau tidak keluar mengundi. Jadi, tak kisah la MCA ke DAP turun kempen atau tidak… undi masyarakat Cina akan pergi ke BN,” katanya.

Lau turut meramalkan calon BN berdepan laluan mudah dalam saingan dua penjuru menentang calon PN Mohamad Haizan Jaafar.

“Di Mahkota agak jelas keputusan itu, jadi pihak kerajaan tak perlu tawar banyak perkara untuk rakyat Mahkota,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.