
Perkara itu diputuskan Hakim Aslam Zainuddin selepas membenarkan permohonan dikemukakan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed selaku pemohon untuk menggantung pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.
Peguam Abu Bakar Isa Ramat yang turut mewakili pemohon ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata, sesi pendengaran permohonan penggantungan dibuat mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Sept ini bagi sebutan kes rayuan itu di Mahkamah Tinggi.
Abu Bakar berkata, mahkamah turut membenarkan permohonan itu dengan beberapa syarat, namun butirannya tidak boleh didedahkan secara terperinci.
Dalam prosiding hari ini, selain Abu Bakar dan Mohamed Baharudeen, Syed Shah Iqmal turut diwakili Wan Azmir Wan Majid dan Muhammad Amin Othman.
Pada 30 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Norazlin Othman menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan ke atas Syed Shah Iqmal serta menolak permohonannya menangguhkan pelaksanaan hukuman selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan permohonan itu.
Dia dijatuhkan hukuman berkenaan selepas didapati bersalah merogol wanita 23 tahun (ketika itu) dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, di sini, kira-kira 1.35 pagi 11 Sept 2019.
Syed Shah Iqmal didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 Mac lepas mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu, selepas membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan berkenaan.