Wanita hamil antara 11 didakwa tawar pekerjaan tak wujud

Wanita hamil antara 11 didakwa tawar pekerjaan tak wujud

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nabisha Ibrahim.

Seorang wanita hamil antara 11 individu dibawa ke Mahkamah Sesyen Taiping bagi berdepan tuduhan menipu dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud pada bulan lepas. (Gambar Bernama)
TAIPING:
Seorang wanita hamil antara 11 individu didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menipu dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud pada bulan lepas.

Wanita hamil itu, Ng Kai Yee, 22, bersama tiga wanita lain dan tujuh lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Leong Ying Zhi, 21; Lee Kong Pa, 22; Wong Li Jia, 23; Lam Yong Jun, 24; Yeong Yong Long, 24; Leyu Yee Ying, 24; Toh Khai Shean, 24; Ng Zi Cong, 25; Chuah Cher Seng, 25 dan Yeoh Li Kee, 26, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di Taman Desa Tekkah Sentosa dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada 1.30 tengah hari, 14 Ogos lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan sebanyak RM25,000 setiap seorang serta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai berdekatan setiap bulan selain menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Peguam S Privesh Paul Singh yang mewakili Kai Yee, memohon jaminan sebanyak RM2,000 kerana anak guamnya sedang mengandung tujuh bulan manakala peguam Tan Kian Peng mewakili 10 lagi tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kerana semua anak guamnya tidak bekerja dan masih ditanggung oleh ibu bapa.

Hakim kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 setiap orang serta syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 29 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.