Terima pelajar miskin, tangguh yuran, menteri arah universiti

Terima pelajar miskin, tangguh yuran, menteri arah universiti

Zambry Abdul Kadir turut mengarahkan universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui PTPTN kepada pelajar miskin.

zambry abdul kadir
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata beliau tidak mahu masalah kewangan menjadi halangan kepada pelajar cemerlang daripada melanjutkan pengajian ke menara gading. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran mereka.

Beliau turut mengarahkan pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada golongan mahasiswa berkenaan.

“Saya telah arahkan pihak pentadbir universiti terima masuk pelajar miskin dan daif yang tidak berkemampuan.

“Pergi dahulu, lepas itu kita susun melalui PTPTN dan sebagainya,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook, bersama Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki.

Zambry juga berkata, beliau tidak mahu masalah kewangan menjadi halangan kepada anak-anak cemerlang ini daripada melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Saya tidak mahu mendengar kisah mereka yang berjaya tidak dapat masuk ke universiti…saya tahu tentang kesusahan itu.

“Saya tidak mahu itu dijadikan sebagai alasan untuk adik-adik semua tidak mahu masuk ke universiti,” katanya dalam video itu.

Terdahulu, Asyraf berkongsi kisah ramai anak-anak cemerlang dari keluarga miskin dan daif tidak mampu melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kekangan kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.