Tak benar MoU langgar Perlembagaan, kata pemimpin Umno

Tak benar MoU langgar Perlembagaan, kata pemimpin Umno

Wan Agyl Wan Hassan berkata dakwaan dibuat Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin itu tiada bukti kukuh.

MoU dikemukakan kepada Perikatan Nasional itu selari dengan Perlembagaan kerana ia menegakkan prinsip maruah dan kesaksamaan untuk semua, tanpa mengira kaum, agama, bahasa atau budaya, kata Wan Agyl Wan Hassan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda Umno berkata dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa cadangan perjanjian mengenai peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak benar dan tidak ikhlas.

Wan Agyl Wan Hassan berkata dakwaan yang dibuat oleh pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, dan Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, tidak mempunyai bukti yang kukuh.

Katanya, Hamzah tidak menjelaskan bahagian mana dalam memorandum persefahaman (MoU) itu yang dikatakan bermasalah atau bagaimana ia akan menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Menurut Wan Agyl, draf MoU yang ditolak oleh PN itu dengan jelas menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan kerangka demokrasi berparlimen.

wan agyl wan hassan
Wan Agyl Wan Hassan.

Fokus utama MoU itu adalah untuk mempromosikan prinsip maruah dan kesaksamaan untuk semua, tanpa mengira kaum, agama, bahasa atau budaya, katanya.

“Pesanan ini selari dengan nilai-nilai asas dalam Perlembagaan dan bukannya bercanggah dengannya.

“Lebih penting, draf MoU itu tidak mengandungi sebarang peruntukan yang akan mengurangkan atau menjejaskan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera,” kata pengerusi tetap Pemuda Umno itu kepada FMT.

Wan Agyl berkata dakwaan bahawa MoU itu menjejaskan hak-hak Melayu dan Bumiputera kelihatan lebih sebagai taktik politik daripada kebimbangan sebenar.

Beliau berpendapat, PN dengan membuat dakwaan sedemikian, mungkin cuba meletakkan diri mereka sebagai pembela orang Melayu dan Bumiputera untuk menarik sokongan di kawasan majoriti Melayu.

Katanya, mendorong naratif seperti itu akan menimbulkan keraguan terhadap komitmen kerajaan dalam melindungi hak-hak ini, walaupun kandungan sebenar MoU tidak mengancamnya.

“Ia seperti usaha untuk mengalihkan perhatian daripada bahagian lain dalam perjanjian itu yang mungkin mereka tidak suka. Isu kaum dan agama adalah topik sensitif, dan saya tertanya-tanya jika taktik seperti ini digunakan untuk menimbulkan kontroversi.”

Katanya, pendekatan pembangkang itu mungkin menarik minat sesetengah pihak, tetapi ia menyederhanakan isu yang kompleks dan mungkin memudaratkan perpaduan negara.

Pada Ahad, Hamzah yang juga ketua pembangkang, mengumumkan PN sebulat suara menolak draf MoU itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau juga berkata draf MoU itu mengandungi syarat yang boleh dianggap sebagai ‘bertentangan dengan nilai tradisi, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.

Pada Selasa, Muhyiddin berkata antara syarat terbabit ditetapkan antaranya menghalang Ahli Parlimen PN membuat kenyataan ‘mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada atas dasar agama, kaum atau apa-apa faktor identiti yang lain’.

Pengerusi PN itu turut mendakwa ‘identiti yang lain’ dalam syarat kesepuluh dalam MoU itu merujuk kepada kumpulan LGBT.

Sementara itu, Ketua Umno Subang, Arman Azha Abu Hanifah, menggesa pembangkang, terutama Hamzah, supaya menghentikan polemik seperti itu dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Arman berkata sudah tiba masanya Hamzah ‘melangkah ke hadapan’.

“Beliau sepatutnya mencadangkan alternatif (untuk memperbaiki MoU) daripada mempolitikkan isu ini sehingga mengelirukan rakyat dan menimbulkan kegelisahan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.