
Laporan dibuat kerana Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, mengesyaki keterangan palsu akan diberi dalam usaha menjatuhkannya.
Peguam bela, Haijan Omar, beritahu Mahkamah Sesyen bahawa satu laporan polis difailkan terhadap ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli, di Balai Polis Sentul, bulan lepas.
Menurutnya, Lim dapat tahu bahawa seorang individu menamakannya dalam laporan polis yang lain.
“Orang ini mendakwa seseorang mengugutnya untuk memberikan keterangan palsu terhadap anak guam saya,” kata Haijan kepada Hakim Azura Alwi.
“Anak guam saya percaya seseorang cuba aniaya dia (Lim).”
Haijan berkata Lim dimaklumkan bahawa siasatan polis berhubung perkara itu sudah bermula.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin mempersoalkan alasan Lim berbuat demikian pada peringkat ini.
“Kenapa bawa polis masuk?” katanya, dan menambah perbicaraan Lim masih belum selesai.
Haijan jawab beliau hanya beritahu mahkamah mengenai perkara itu, dan menambah dia tidak membangkitkannya dengan niat untuk mengganggu perjalanan perbicaraan.
Azura berkata beliau ambil maklum tentang pemfailan laporan itu.
“Ia tidak akan menjejaskan kes kerana saya tidak akan disiasat polis,” katanya.
Meneruskan keterangannya hari ini, Zarul memaklumkan mahkamah bahawa peguamnya menasihati beliau untuk buat laporan polis bagi membersihkan nama.
Azura kata ia adalah hak Zarul untuk berbuat demikian.
Lim berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan.
Lim juga didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu.
Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.