Zaim, Ismanira mohon tarik balik tuduhan abai Zayn Rayyan

Zaim, Ismanira mohon tarik balik tuduhan abai Zayn Rayyan

Mahkamah Sesyen juga menetapkan perbicaraan pasangan itu bermula Januari tahun depan.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf sebelum ini didakwa secara bersama mengabaikan Zayn Rayyan Abdul Matiin dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
PETALING JAYA:
Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin akan menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara supaya pertuduhan mengabai kanak-kanak autisme itu yang dikenakan terhadap mereka ditarik balik.

Perkara itu dimaklumkan peguam yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, dalam prosiding di Mahkamah Sesyen hari ini, lapor Sinar Harian.

Peguam Fahmi Abd Moin berkata, ia termasuk permohonan supaya Jabatan Peguam Negara menyemak semua kes tersebut.

“Selepas meneliti semua dokumen daripada pihak pendakwaan, kami akan hantar dokumen berkaitan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

“Susulan itu, saya harap mahkamah menetapkan tarikh lain untuk keputusan representasi, sebelum perbicaraan kes bermula,” katanya.

Selepas dimaklumkan perkara itu Hakim Syahliza Warnoh menetapkan 6 Dis ini untuk keputusan representasi terbabit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menyerahkan tiga salinan dokumen kepada pembelaan, iaitu laporan syarikat telekomunikasi, forensik telefon bimbit dan rakaman kamera litar tertutup.

Katanya, pihak pendakwaan juga akan memanggil seramai 15 saksi untuk memberi keterangan dalam kes itu.

Kalmizah turut dibantu Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Eliza Amira Habib Rahman.

Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes ini berlangsung selama 15 hari, bermula 20 hingga 24 Jan, 3 hingga 7 Feb dan 17 hingga 21 Feb tahun depan.

Pada 13 Jun lalu, suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.