
Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata perkara itu tidak harus menjadi pertikaian dan semua pihak perlu menyokong usaha memulihkan ekonomi.
“Pembangkang hendaklah menyokong setiap usaha bagi memulihkan ekonomi, pemulihan ini hendak berpaksikan perlembagaan,” kata pakar perlembagaan itu yang menggesa kerajaan juga perlu bersikap adil.
“Adil kepada wakil rakyat dan masyarakat keseluruhan berlandaskan lunas undang-undang.”
Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkongsi draf MoU terbabit selepas ditolak pembangkang yang mendakwa beberapa syarat dikenakan dikhuatiri menjejaskan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Fadillah berkata draf MoU berkenaan didedahkan agar rakyat sendiri boleh menilai dakwaan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin itu.
Draf itu antara lain menggariskan obligasi wakil rakyat terbabit iaitu bertindak sebagai komponen semak dan imbang bertanggungjawab dan membina; menyediakan pilihan dasar alternatif berbanding cadangan dasar dikemukakan kerajaan; serta menahan diri daripada menyemai kebencian, diskriminasi, atau keganasan sebagai suatu bentuk ekspresi politik atau perbezaan pendapat.
Wakil rakyat itu juga perlu mengakui dan mengisytiharkan Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua manusia, dan semua rakyat mempunyai peranan untuk mempromosi dan menggalakkan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua, tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, dan budaya.
Penandatangan juga mengakui dan mengisytiharkan Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia berdasarkan prinsip bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan saksama, dan mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan yang saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan.
Wakil rakyat itu juga mengutuk propaganda, maklumat palsu, atau sebarang idea yang bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum, agama, dan/atau budaya, atau sebarang bentuk penderhakaan terhadap institusi diraja.
Namun Wan Ahmad Fauzi berpendapat kandungan syarat itu juga perlu dijelaskan lebih lanjut untuk membolehkan rakyat menilai sebaiknya walaupun Fadillah telah mendedahkannya.
Beliau berkata syarat dalam MoU itu juga perlu memupuk kepada pembinaan jati diri yang tidak menjurus kepada kesamarataan bercanggah prinsip kedaulatan dan keluhuran perlembagaan.