Kerajaan kekal dasar sukarela mohon sijil halal, kata Zahid

Kerajaan kekal dasar sukarela mohon sijil halal, kata Zahid

Timbalan perdana menteri berkata, dasar sedia ada terbuka kepada mana-mana industri bersedia mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard sijil halal Malaysia.

halal
Zahid Hamidi berkata, Jakim menggesa pemain industri memohon sijil halal yang boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam makan tanpa keraguan di premis mereka.
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju mengekalkan dasar sedia ada berkaitan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kata Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi.

Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal itu berkata, dasar sedia ada yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam (Main) atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) bersifat sukarela sejak ia mula dilaksanakan pada 1974 serta diperkukuh dengan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Dasar sedia ada ini kekal dan ia terbuka kepada mana-mana industri yang bersedia mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia.

“Melalui SPHM yang diperolehi tersebut, ia akan memberi nilai tambah kepada pemegang SPHM atas komitmen tinggi untuk sentiasa mematuhi standard dan piawaian pensijilan halal,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau berkata, Jakim menggesa pemain industri memohon SPHM memandangkan ia boleh memberi jaminan dan menarik pelanggan beragama Islam untuk makan tanpa keraguan di premis mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.