JPV tak uji DNA keldai dalam gelatin import

JPV tak uji DNA keldai dalam gelatin import

Penolong Pengarah Kanan Ridzuan Noorzahari berkata jabatan itu hanya membuat saringan untuk DNA babi atau lembu.

Laporan awal tahun ini menimbulkan kebimbangan terhadap penggunaan bahan bukan berasaskan lembu dalam gelatin dihasilkan di Pakistan.
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) tidak menguji untuk DNA keldai dalam gelatin diimport yang digunakan dalam perubatan tradisional Cina.

Penolong Pengarah Kanan Ridzuan Noorzahari berkata, jabatan itu hanya melakukan saringan untuk DNA lembu atau babi.

Islam melarang memakan daging keldai peliharaan dan domestik.

Ridzuan berkata, produk hasil keldai juga mahal seterusnya kurang berkemungkinan dijual secara murah.

“Berdasarkan audit kami, kami hanya menyaring untuk DNA berasaskan lembu dan haiwan lain. Tidak perlu bimbang mengenai DNA babi atau keldai,” katanya kepada FMT.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan DNA haiwan lain yang disaring.

Ridzuan diminta mengulas kebimbangan mengenai penggunaan bahan bukan berasaskan lembu dalam gelatin keluaran Pakistan seperti dilaporkan BBC pada Februari lalu.

Laporan itu memetik kebolehkesanan dan kualiti gelatin Pakistan, khususnya selepas beberapa negara mengharamkan penyembelihan keldai untuk kulitnya, yang membawa kepada masalah bekalan gelatin termasuk penggunaan bahan gred rendah.

Pakistan adalah sumber utama gelatin import di Malaysia, daripada 295,000kg pada 2020 kepada 1.58 juta kg pada 2023, menurut JPV.

Beberapa kilang gelatin di Pakistan dilaporkan gagal memperoleh pensijilan halal susulan pemeriksaan oleh JPV dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2022.

Pengarah Bahagian Regulatori JPV Razli Abdul Razak berkata, jabatan itu mempunyai syarat ketat bagi mendapat kelulusan membekalkan gelatin.

“Memandangkan ini produk haiwan, haiwan itu sendiri dan negara asalnya perlu diteliti secara mendalam sebelum kami memberi kelulusan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang kegagalan mematuhi keselamatan dan status halal gelatin akan menyebabkan bahan berkenaan ditolak.

“Kami memastikan kulitnya dari penyembelihan halal, iaitu di situ fungsi Jakim,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.