15 lebuh raya belum dapat penarafan 4 bintang tahun ini, kata KSU KKR

15 lebuh raya belum dapat penarafan 4 bintang tahun ini, kata KSU KKR

Azman Ibrahim menggesa supaya kualiti lebuh raya bertol di Malaysia berada pada tahap yang boleh dibanggakan oleh kerajaan dan rakyat.

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan (tengah) merasmikan persidangan konsesi lebuh raya di Johor Bahru. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Azman Ibrahim (dua dari kiri).
PETALING JAYA:
Lima belas daripada 33 lebuh raya bertol belum mendapat penarafan empat bintang di bawah penilaian petunjuk prestasi lebuh raya (EPI) pada tahun ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Azman Ibrahim.

Sehubungan itu, Azman menggesa syarikat konsesi yang terbabit dalam mengurus lebuh raya supaya meningkatkan kualiti bagi membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan terbaik sekali gus memperbaiki kedudukan negara dalam ranking dunia yang boleh dibanggakan.

Menurutnya, kedudukan Malaysia di tangga ke-19 dengan skor 5.3 mata masih boleh diperbaiki dengan meluaskan rangkaian jalan raya, melancarkan keterhubungan antara jalan raya/lebuh raya dan meningkatkan penyelenggaraan berkala dan tidak berkala dengan lebih berkesan termasuk dengan menggunakan teknologi inovatif bagi penjimatan kos dan masa.

Azman berkata, bagi mencapai sasaran itu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) harus menguatkuasakan pelaksanaan EPI di semua lebuh raya bagi menilai prestasi operasi serta penyelenggaraan lebuh raya setiap dua kali setahun dengan lebih telus, konsisten dan sistematik .

“Parameter pengukuran merangkumi aspek rutin, berkala serta pengurusan inventori aset lebuh raya dengan menumpukan elemen binaan awam dan struktur serta mekanikal dan kejuruteraan yang dinilai menerusi sistem EPI mengikut markah indeks dan seterusnya analisis pencapaian keseluruhan.

“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2024, masih terdapat 15 lebuh raya yang belum mencapai penarafan empat bintang.

“Perkara ini perlu diberi perhatian oleh semua syarikat konsesi terbabit dan merancang pelan tindakan yang drastik tetapi tersusun serta terancang untuk mempertingkatkan lagi kualiti lebuh raya bertol di Malaysia ini pada masa akan datang” katanya ketika berucap pada persidangan konsesi lebuh raya di Johor Bahru.

Persidangan itu dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan.

Azman berkata syarikat konsesi juga wajib meningkatkan aspek keselamatan untuk mengurangkan jumlah kemalangan di lebuh raya di mana berdasarkan statistik LLM menunjukkan 28,479 kemalangan berlaku di lebuh raya bertol pada tahun lalu.

“Syarikat konsesi perlu sentiasa mengkaji teknologi lebuh raya terkini dan bersedia mempelajari dan mengadaptasi dari pelbagai sistem lebuh raya di dunia seperti di Eropah, Amerika Syarikat, Australia, India mahupun di China yang boleh dijadikan ‘benchmark’ untuk meningkatkan kualiti lebuh raya kita dari segi pembinaan, operasi dan penyenggaraan”, katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan memperkenalkan inisiatif Bitara Madani bagi menangani kemalangan melibatkan motosikal yang merekodkan 6,854 kes pada tahun lalu.

“Ia bagi memudahkan penunggang motosikal mencari tempat berteduh terutama semasa cuaca buruk. Inisiatif penyediaan 119 tempat berteduh motosikal di sepanjang lebuh raya seluruh negara sedang dilaksanakan.

“Sehingga Julai lalu sebanyak 107 daripada 119 tempat berteduh disiapkan manakala selebihnya dijadualkan siap penghujung tahun ini. Tempat teduh motosikal merupakan satu entiti lebuh raya yang penting di mana ianya dapat mengurangkan kemalangan dan di masa yang sama dapat mengurangkan gangguan pemanduan serta kesesakan lalu lintas”, kata Azman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.