Seminggu ditahan, keluarga ‘Abang Bas’ bayar ikat jamin RM40,000

Seminggu ditahan, keluarga ‘Abang Bas’ bayar ikat jamin RM40,000

Lelaki yang juga pemilik akaun TikTok ‘Abang Bas’ sebelum ini berdepan pendakwaan amang seksual terhadap kanak-kanak.

mahkamah muar
Minggu lalu, ‘Abang Bas’ berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Muar termasuk amang seksual terhadap kanak-kanak. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
‘Abang Bas’ yang dituduh melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak ‘bebas sementara’ selepas bayaran ikat jamin RM40,000 dilunas hari ini, selepas lebih seminggu ditahan di Pusat Koreksional Muar.

Keseluruhan jumlah ikat jamin dikenakan itu membabitkan tiga pertuduhan antaranya mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama, dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Selasa lalu, Mahkamah Sesyen Muar membenarkan ‘Abang Bas’ diikat jamin RM30,000 terhadap dua pertuduhan, manakala Mahkamah Sesyen Batu Pahat memberikan ikat jamin RM10,000 untuk satu pertuduhan.

Bagaimanapun, keluarga kepada anak bongsu daripada enam beradik itu tidak mampu membayar keseluruhan ikat jamin dikenakan, menyebabkan ahli keluarga merayu orang ramai menghulurkan sumbangan itu.

Walaupun dibebaskan, ‘Abang Bas’ masih terikat dengan syarat tambahan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Lelaki berusia 24 tahun itu tiba di mahkamah 8.30 pagi, sambil diiringi polis bagi urusan ikat jamin, sebelum dibebaskan dengan jaminan ditandatangani ahli keluarganya, pada 11.50 pagi.

Sebaik dibebaskan, ‘Abang Bas’ dipeluk erat ibunya yang menunggu sejak awal pagi sambil menangis.

“Alhamdulillah, syukur,” kata ibunya memetik laporan Berita Harian.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki yang juga pemilik akaun ‘Abang Bas’ menggelar seorang penumpang dipercayai murid sekolah rendah sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Pemandu bas sekolah itu yang mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok, sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.