
Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Pua Kiam Wee yang lebih dikenali Tony Pua berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi kedua plaintif dalam saman USD6.59 bilion yang difailkan 1MDB terhadap Arul Kanda dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Pua, 52, yang dilantik setiausaha politik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 2018 berkata beliau menghadiri pertemuan dengan wakil 1MDB untuk menentukan status kewangan dana kekayaan negara itu.
“Selepas PRU14, menteri baharu (Lim) mengadakan mesyuarat pada 22 Mei 2018 dengan wakil 1MDB untuk menentukan status kewangan 1MDB. Saya juga menghadiri mesyuarat ini dengan menteri.
“Apabila ditanya mengenai pelaburan 1MDB, Arul Kanda mendakwa semua hal berkaitan kewangan dikendalikan dengan ketat oleh Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir dan beliau sama sekali tidak pasti nilai ‘pelaburan’ ini atau sama ada ia benar-benar wujud,” katanya sambil menambah Lim memaklumkan perkara itu dalam kenyataan mengenai hasil mesyuarat berkenaan.
Saksi itu berkata, pada Jun 2018, 1MDB menamatkan perkhidmatan Arul Kanda berkuat kuasa serta-merta atas alasan pelanggaran kontrak dan tugas fidusiari sebagai CEO 1MDB.
Arul Kanda ialah CEO 1MDB dari 2015 hingga 2018.
Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap Irwan dan Arul Kanda atas dakwaan mereka melakukan pecah amanah serta konspirasi menyebabkan syarikat mengalami kerugian USD1.83 bilion berhubung pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, kemudian ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited yang dikatakan terdapat dalam Dana Bridge Global.
1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyalah guna USD3.5 bilion dibayar kepada Aabar Investments dan USD1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company pada 9 Mei 2017.
1MDB menuntut ganti rugi USD6.59 bilion daripada kedua-dua defendan berhubung pelanggaran ini dan tambahan RM2.9 juta daripada Irwan berkaitan perjanjian lanjutan pekerjaan.
Perbicaraan di depan Pesuruhjaya Kehakiman, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan diteruskan esok.