Ambil alih pengeluar tenaga bebas bukan idea Najib, kata peguam

Ambil alih pengeluar tenaga bebas bukan idea Najib, kata peguam

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, anak guamnya jelas tidak membuat sebarang rancangan untuk kepentingannya.

najib
Najib Razak berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengambilalihan pengeluar tenaga bebas (IPP) bukan idea Najib Razak kerana bekas perdana menteri itu mengambil masa agak lama memberi kelulusan selepas dicadangkan ahli Lembaga Pengarah 1MDB.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Najib berkata, anak guamnya jelas tidak membuat sebarang rancangan untuk kepentingannya.

“Idea mengambil alih IPP Tanjong Energy (Holdings Sdn Bhd) timbul tiga bulan sebelum Datuk Seri Najib memberikan kelulusan melalui Minit Perwakilan (MR) dan Resolusi Khas Pemegang Saham (SSR).

“Malah, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi pernah menyebut perkara ini dalam keterangannya di mahkamah yang menyatakan ia peluang baik untuk 1MDB menceburi sektor tenaga di Malaysia dan membenarkan sektor itu diurus syarikat milik kerajaan, iaitu 1MDB.”

Beliau berkata demikian ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram Najib di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, Najib tiba di mahkamah berkerusi roda selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini kerana keradangan lutut akut dan beliau dilihat berjalan perlahan-lahan dengan bantuan tongkat.

Sequerah membenarkan permohonan pembelaan agar Najib duduk di luar kandang tertuduh bagi membolehkan beliau meregangkan kakinya.

Berhubung pertuduhan kedua dihadapi Najib, Wan Azwan Aiman berkata pendakwaan gagal mengemukakan keterangan bagi membuktikan tertuduh menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk memperoleh suapan lebih RM90 juta daripada dana 1MDB demi kepentingan peribadi.

“Meskipun fakta kes berbeza dari segi pemasaan dan intipati, keterangan dikemukakan pendakwaan secara konsisten membuktikan Najib tidak bertanggungjawab bagi dakwaan salah laku itu.

“Tiada keterangan mana-mana saksi dalam kes ini, termasuk bekas CEO 1MDB, iaitu Shahrol Azral dan Mohd Hazem Abd Rahman, bekas ketua pegawai kewangan 1MDB, Azmi Tahir dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo menunjukkan tindakan mereka untuk memuaskan hati Datuk Seri Najib.”

Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 yang dikaitkan dengan transaksi di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.