Agong pandang serius kes jenayah, abai budak terkait GISBH

Agong pandang serius kes jenayah, abai budak terkait GISBH

Sultan Ibrahim titah polis menjalankan siasatan segera dan menyeluruh.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan. (Gambar Istana Negara)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memandang serius isu jenayah dan penganiayaan kanak-kanak terkait rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Baginda bertitah, polis perlu menjalankan siasatan segera dan menyeluruh bagi merungkai kes berkenaan selepas pelbagai berita dilapor dan disiarkan dalam media massa.

Titahnya, perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.

“Saya mahu siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan segera diambil,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata bekas pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) akan memberikan maklumat berkaitan syarikat itu kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan baru-baru ini, bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman GISB Holdings.

Katanya, laporan berkenaan akan dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk dibincangkan bagi menentukan status doktrin fahaman GISB, sama ada sesat atau tidak.

Pada 10 Sept, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global.

Serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan kanak-kanak yang juga penghuni rumah amal terbabit, dengan 171 individu ditahan termasuk 105 wanita berusia 17 dan 64 tahun.

Awal hari ini, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata pihaknya telah membekukan 96 akaun GISBH bernilai RM581,552.

Perintah pembekuan dibuat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, selain empat akaun telah ditutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.