96 akaun GISBH dibeku

96 akaun GISBH dibeku

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata empat lagi akaun milik Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings ditutup.

Razarudin Husain berkata, pembekuan akaun dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Polis mengesahkan 96 akaun milik Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) telah dibekukan bernilai RM581,552.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata pembekuan dilakukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, selain empat akaun telah ditutup.

“Sehingga kini sebanyak 96 akaun bank melibatkan GISBH berjumlah RM581,552 telah dibekukan. Dalam pada itu, sebanyak empat akaun telah ditutup,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Selain itu, Razarudin berkata, pihaknya turut mengeluarkan perintah sita ke atas lapan kenderaan milik organisasi terbabit.

Sementara itu, polis juga memaklumkan akan memanggil Pengarah Eksekutif GISBH Nasiruddin Mohd Ali untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Razarudin berkata, pihaknya juga akan menyiasat dakwaan dibuat Nasiruddin menerusi satu video kenyataan berhubung Op Global dijalankan.

“Dakwaan yang beliau (Nasiruddin) sebelum ini pernah berbincang dengan pihak pihak berkepentingan adalah tidak benar kerana kami tidak mengetahui asal usul kenyataan itu.

“Bagaimanapun, jika benar, kami akan menyiasat dengan siapa beliau pernah berbincang dan berkolaborasi,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin turut mempertikaikan kenyataan Nasiruddin yang mengajak pihak berkuasa berbincang berkait dakwaan jenayah seksual berlaku di GISBH.

“Untuk kita berbincang di bawah ATIPSOM (Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang melibatkan tuduhan kesalahan seksual dan penderaan. Adakah perlu untuk kita berbincang?

“Kami sedang menjalankan siasatan dengan telus dan adil untuk membela hak mereka yang berhak,” tambahnya.

Selain GISBH disiasat di bawah ATIPSOM, organisasi itu juga disiasat antaranya mengikut Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, dan kesalahan tertakluk Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.