
Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Ja’afar, berkata pihaknya menerima laporan daripada jiran mangsa yang bimbang selepas terdengar bunyi pergaduhan dan tidak melihat mangsa keluar dari rumah selepas kejadian.
“Sepasukan polis dari IPD Petaling Jaya pergi ke rumah mangsa bagi menjalankan siasatan awal dan hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemukan mayat seorang lelaki berumur 36 tahun dengan kesan tikaman.
“Jumlah keseluruhan tikaman dianggarkan 20 dengan lima tikaman di sebelah rusuk kiri, enam tikaman di kepala dan sembilan tikaman di kedua-dua pergelangan tangan,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulnizam berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan pihaknya turut difahamkan mangsa tinggal bersendirian di pangsapuri berkenaan, yang baru dibelinya tahun lepas.
“Barangan mangsa seperti beg duit dan telefon bimbit disyaki dicuri, jadi kita juga tidak tolak kemungkinan kes ini pecah rumah menjadi samun hingga menyebabkan kematian dan suspek kes ini dipercayai juga tercedera semasa bergelut dengan mangsa,” katanya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dipohon untuk tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.