Cikgu Aben nyanyi lagu Dusun dendang keindahan Sabah, hampir 2 juta tontonan

Cikgu Aben nyanyi lagu Dusun dendang keindahan Sabah, hampir 2 juta tontonan

Haikal Sa'ari dari Kedah guna media sosial untuk memaparkan kekayaan alam sekitar dan kebudayaan Negeri di Bawah Bayu.

Video muzik lagu ‘Ika Noh Tondu’ nyanyian Muhamad Haikal Sa’ari memaparkannya bersama isteri Zaimah Tahir memakai pakaian tradisi Dusun Kimaragang dan keindahan Bukit Piniapat, Pitas.
PETALING JAYA:
‘Tupus Ku’ nyanyian penyanyi Sabah, Hain Jasli, antara lagu Dusun yang mendorong Muhamad Haikal Sa’ari, seorang guru dari Sik, Kedah untuk menguasai bahasa kaum Kadazandusun.

Malah lagu itu menjadi motivasi buat Haikal, 32, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Aben untuk menyelami etnik utama di Negeri di Bawah Bayu.

Beliau secara berseloroh menggelar dirinya ‘orang Dusun Kedah’, malah berkahwin pula dengan Zaimah Tahir, seorang Sino-Sungai yang berasal dari Pitas di utara Sabah.

“Saya sebenarnya banyak belajar dari lagu, selalu tengok di YouTube selain bertanya keluarga serta orang kampung tempat saya mengajar,” katanya kepada FMT.

“Sekarang boleh cakap dan faham selain menyanyi lagu.”

Cikgu Aben meraikan sambutan Pesta Kaamatan dengan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ruminding. (Gambar Facebook)

Empat tahun lalu, Cikgu Aben diberi peluang menyanyi lagu Dusun ciptaan Larry Ben Masawat bertajuk ‘Ika Noh Tondu’, sekali gus merealisasikan suatu impian yang terpendam sejak sekian lama.

Beliau berpeluang merakam video muzik di Bukit Piniapat, Pitas; sambil menggayakan busana tradisional Dusun Kimaragang.

Di sebalik rasa teruja, Cikgu Aben akui bimbang tentang bagaimana orang Sabah akan menerima video tersebut.

“Puas bila lihat muzik video lagu itu catat hampir 2 juta tontonan di YouTube,” katanya, yang tidak akan melepaskan peluang untuk menyelitkan keindahan bumi Sabah dalam videonya untuk tatapan dunia.

Cikgu Aben berkata beliau bergiat di media sosial kerana mengejar kepuasan berkongsi keindahan budaya dan alam Sabah, yang belum diterokasi sepenuhnya oleh orang lain.

“Kenangan paling manis bila orang Sabah sokong usaha murni saya sebarkan keindahan Sabah di mata dunia,” katanya yang juga menjadi perunding takaful.

Sebenarnya, Cikgu Aben tidak pernah jejak kaki ke Sabah sebelum meminang Zaimah pada 2014. Kini beliau bermukim di Sepanggar dan mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Inanam, berdekatan Kota Kinabalu.

Setiap hari bekerja Muhamad Haikal Sa’ari berulang-alik hampir 100km melunaskan tanggungjawab seorang guru dengan menaiki motosikal meredah jalan bertanah. (Gambar Facebook)

Setiap hari bekerja beliau berulang-alik hampir 100km untuk melunaskan tanggungjawab seorang guru, menaiki motosikal dan meredah jalan bertanah untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ruminding.

Perjalanan yang sukar namun Cikgu Aben masih tersenyum puas kerana dapat menikmati kehijauan yang belum tercemar.

“Saya rasa SK Ruminding antara sekolah paling cantik pernah saya ‘terjah’, boleh hirup udara segar dan ada sungai jernih berdekatannya,” katanya, yang turut jatuh cinta dengan kemesraan penduduk di kampung itu.

“Murid tidak ramai hanya sekitar 16 orang, semua mata pelajaran kena ajar walaupun saya guru opsyen bagi pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.