
Sebahagian besar penghuni tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga disebabkan api marak dengan cepat serta kedudukan rumah yang rapat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau berkata, sepasukan 13 anggota bersama dua jentera dan utiliti bergegas ke lokasi terletak 174km dari BBP Kinabatangan selepas menerima panggilan pada 7.24 malam.
Katanya, 44 rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal musnah dalam kebakaran itu yang turut menyebabkan sebuah kenderaan terbakar sepenuhnya.
Menurutnya, api berjaya dikawal 2.30 pagi tadi dan operasi memadam kebakaran sepenuhnya giat dilakukan.
“Punca sebenar kebakaran masih disiasat dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya menurut Harian Metro.