TPM gesa rombak dasar berkait peperiksaan Tahun 6, Tingkatan 3

TPM gesa rombak dasar berkait peperiksaan Tahun 6, Tingkatan 3

Kebanyakan pelajar tidak duduki SPM tahun lalu tidak boleh membaca, menulis, atau mengira, kata Zahid Hamidi.

sekolah rendah
Zahid Hamidi berkata dasar tidak ada peperiksaan Tahun 6 dan Tingkatan 3 mesti dirombak. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Timbalan perdana menteri gesa dasar berkait peperiksaan bagi Tahun 6 dan Tingkatan 3 dirombak, selepas difahamkan kebanyakan daripada lebih 10,000 yang tidak menduduki SPM tahun lalu tidak boleh membaca, menulis, atau mengira.

Zahid Hamidi berkata Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi menyedari punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu, dalam perbincangan dengannya sebelum ini.

“Kebanyakannya tidak boleh membaca, menulis dan mengira,” katanya dalam ucapan sempena Perhimpunan Agung MIC ke-78.

“Wajib dasar pendidikan yang tidak ada peperiksaan Darjah 6 dan Tingkatan 3, mesti ‘di-revamp’ (dirombak),” katanya.

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 dimansuhkan pada 2021 dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada 2022.

Ia digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

UPSR diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Utusan Malaysia lapor seramai 122,062 murid Tahun 1 sesi 2024/2025 dipilih bagi mengikuti Program Intervensi (literasi dan numerasi) bermula bulan lalu, bagi membantu mereka menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira.

Daripada jumlah itu, seramai 62,928 murid dikesan belum menguasai literasi dan numerasi; 45,465 murid belum menguasai literasi manakala 13,669 murid pula belum menguasai numerasi, menurut Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan.

Jumlah murid yang terpilih itu mewakili 27.2% daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun 1.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.