Terap kursus kewangan seawal sekolah cegah terjerat hutang BNPL, kata pakar

Terap kursus kewangan seawal sekolah cegah terjerat hutang BNPL, kata pakar

Golongan muda bawah usia belia juga terdedah pembelian dalam talian yang berpotensi terperangkap beban kewangan pada masa akan datang.

Media melaporkan ramai pengguna terjerat beban hutang melalui beli dahulu bayar kemudian (BNPL) ditawarkan platform e-dagang. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menerapkan kursus pengurusan kewangan seawal sekolah rendah bagi membolehkan generasi akan datang memiliki kemahiran menguruskan perbelanjaan dan simpanan mereka.

Aimi Zulhazmi dari Universiti Kuala Lumpur berkata, ketika ini golongan muda bawah usia belia juga terdedah pembelian dalam talian, yang berpotensi menyebabkan mereka terperangkap beban kewangan pada masa akan datang lebih-lebih lagi melalui perkhidmatan beli dahulu bayar kemudian (BNPL).

Aimi Zulhazmi.

“Mereka mesti memahami kaedah pengurusan kewangan seperti merancang perbelanjaan, menyimpan, melabur dengan baik, umpama melentur buluh biarlah dari rebung.

“Ini bukan sahaja ke arah menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi pada 2030, tetapi sekali gus cuba menaik taraf mentaliti rakyat menjadi warga bertaraf dunia,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, media melaporkan ramai pengguna terjerat beban hutang melalui BNPL yang ditawarkan platform e-dagang.

Penyelidik Bersekutu Kanan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Shereen Hazirah, dilapor berkata dalam tempoh dari suku pertama hingga ketiga 2023, terdapat 2.9 juta pengguna aktif BNPL yang kebanyakannya pengguna muda dan pertengahan umur.

Azizul Azli Ahmad.

Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) dari 2014 hingga Mei tahun ini mendapati lebih 35,000 belia berusia 35 tahun ke bawah didaftarkan sebagai bankrap.

Sementara itu, pakar kewangan Azizul Azli Ahmad berkata kebanyakan generasi baharu menganggap BNPL sebagai fasiliti yang memudahkan mereka mendapatkan barangan diidamkan sesuai gaya hidup masa kini sehingga ia menjadi beban kepada kewangan mereka.

“Sebenarnya ada antara pengguna tak faham terma dan syarat serta caj tersembunyi, penalti yang dikenakan. Ia juga menjadikan orang sukar urus kewangan, pengguna yang guna skim ini akan hadapi masalah pengurusan kewangan jadi hutang akan lebih banyak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.