
Naib Ketua Wanita DAP Young Syefura Othman, berkata dalam politik kemungkinan tidak disangka boleh berlaku termasuk Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan BN, bagi membentuk kerajaan.
“Bagi saya, itu terpulang kepada PAS bagaimana ingin mengatur kerjasama politiknya. PAS dan DAP pernah bekerjasama sebelum ini dengan matlamat yang sama.
“Kini, mungkin tidak sehaluan. Namun, di masa akan datang kita tidak boleh menolak apa-apa kemungkinan. Seperti mana yang berlaku selepas PRU15 yang lalu, siapa sangka PH perlu menjalinkan kerjasama dengan BN untuk membentuk kerajaan,” katanya kepada FMT.
Hadi dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-70, presiden PAS itu berkata, partinya tetap teguh mempertahankan Perikatan Nasional (PN), sambil menyuarakan parti tidak sesekali bekerjasama dengan PH.
PAS mempunyai sejarah bekerjasama dengan PKR dan DAP atas tiket Pakatan Rakyat, namun gabungan itu terbubar pada 2015 selepas DAP dan PAS tidak lagi sehaluan.
Selepas kalah PRU 2018, PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional pada akhir 2019, namun kerjasama atas platform itu juga gagal apabila PAS menyertai Bersatu membentuk PN pada 2020, selepas lima bulan di mengambil alih Putrajaya dalam ‘Langkah Sheraton’.
PH tidak pernah bangkit kerjasama PAS
Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim, berkata pihaknya tidak pernah membangkitkan kerjasama bersama PAS, termasuk mengingatkan Hadi ‘fokus kerajaan ketika ini adalah mengurus dan mentadbir negara’.
“Ada banyak isu yang perlu ditangani, tapi yang pasti soal penggabungan dengan PAS tak pernah ditimbulkan oleh kami. Soal-soal politik kepartian sebegini bukan keutamaan buat masa sekarang,” katanya.
Timbalan Ketua Amanah Selangor Azli Yusof, pula berpendapat pendirian Hadi yang tidak mahu kerjasama dengan PH adalah langkah terbaik, sambil menggesa PAS terus menjadi pembangkang berwibawa.
Menurutnya, PAS seharusnya menjadi pihak yang memberi kritikan dan saranan membina membangunkan negara.
“Bukan saban hari memberi persepsi negatif terhadap usaha kerajaan memulih ekonomi, membina keyakinan pelabur, dan membantu rakyat tangani kos sara hidup. Bukan saban masa menimbulkan sentimen agama dan perkauman.